PUTRAJAYA: Kerajaan merakamkan penghargaan kepada Thailand susulan tindakan pantas membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang terkandas dalam bencana banjir di Hatyai.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penghargaan itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul kerana turut mengutamakan rakyat Malaysia dalam operasi menyelamat di Hatyai,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Terdahulu, Wisma Putra memaklumkan operasi menyelamat berskala besar yang dilancar dengan bantuan Tentera Darat Diraja Thailand berjaya memindahkan 1,459 rakyat Malaysia.
Wisma Putra turut memaklumkan, kurang 300 lagi masih terkandas, manakala dua hotel yang menempatkan rakyat Malaysia belum dapat diakses akibat paras air tinggi.
Operasi akan diteruskan sehingga semua individu dikenal pasti berjaya dikeluarkan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan menghargai kerjasama erat polis Thailand yang membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memindahkan rakyat Malaysia yang terkesan.
“Terdapat hubungan baik antara polis kedua-dua negara dan beberapa usaha sedang berjalan,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata, Perdana Menteri menyampaikan ucapan takziah kepada Hong Kong susulan kebakaran di sebuah kompleks kediaman bertingkat yang meragut sekurang-kurangnya 75 nyawa, dengan puluhan lagi cedera dan kira-kira 200 masih hilang.
Dalam kejadian itu, tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan tragedi yang memusnahkan tujuh daripada lapan menara di Wang Fuk Court, daerah Tai Po.-BH Online
