Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 27 November – Malaysia perlu memperkukuh ekonomi berasaskan inovasi bagi memastikan daya saing jangka panjang dan kemakmuran masa depan negara selaras dengan hala tuju yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Kewangan II merangkap pemangku Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ke arah itu negara komited meningkatkan kompleksiti ekonomi melalui penghasilan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi.

Kerajaan sedang memperkukuh ekosistem inovasi negara melalui penerimagunaan teknologi maju, pelaksanaan dasar-dasar nasional seperti Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR), serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

“Bagi mencapai matlamat ini, negara akan memperkukuh ekosistemnya melalui penerimagunaan teknologi maju, peningkatan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pengkomersialan dan inovasi yang lebih aktif bagi meningkatkan daya saing di peringkat global.

“Bagi memupuk sistem ekonomi yang inovatif, Rancangan Malaysia Ke-13 menekankan kepentingan model pembiayaan yang sesuai bagi menyokong penyelidikan, memperkukuh pemilikan harta intelek (IP) negara dan mempromosikan pembangunan bakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Pelancaran Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara di ibu negara.

Bagi memastikan inovasi dapat dimanfaatkan secara meluas dalam ekonomi, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) agar mampu bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi melalui pelbagai inisiatif pembiayaan dan pembangunan kapasiti.

Selain itu, memperkukuh fasilitasi perniagaan termasuk logistik, pensijilan serta akses pasaran eksport bagi meningkatkan keupayaan MSME untuk berkembang dalam ekonomi inovasi negara.-Berita RTM