Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAWAU: Seramai 22,000 mangsa banjir ditempatkan di 188 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara setakat tengah hari ini ketika hujan luar biasa terus melanda beberapa negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, berkata jumlah itu dijangka meningkat berikutan perubahan cuaca yang dipengaruhi luruan angin kuat dari Vietnam dan Filipina.

“Saya telah mengarahkan kesiapsiagaan seluruh agensi yang terlibat. Tanpa mendahului hukum Allah, sebenarnya kita telah menyediakan sebanyak 9,058 PPS di seluruh negara. Tujuannya jika berlaku keadaan banjir agak teruk, semua PPS ini boleh menempatkan kira-kira 2.189 juta mangsa banjir.

“Kita harap ini tidak akan berlaku, namun kita harus bersiap siaga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Eksplorasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Komuniti di Kolej Komuniti Tawau, hari ini. Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata kerajaan telah mengaktifkan kesiapsiagaan penuh semua agensi berkaitan, dengan 9,058 PPS sedia dibuka bagi menampung sehingga 2.189 juta mangsa sekiranya banjir bertambah buruk, dibantu lebih 9,800 anggota pelbagai agensi bersama aset masing-masing

“Turut disediakan 14 unit jambatan sementara bailey(jambatan pasang siap), masing-masing tujuh di Semenanjung, tiga di Sabah dan empat di Sarawak sebagai persiapan bagi menghubungkan laluan yang berisiko terputus akibat banjir,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu ini, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menasihatkan 1.7 juta pengundi keluar awal pada hari pengundian susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) bahawa luruan angin yang membawa hujan dijangka bermula tengah hari.

“Untuk memastikan proses demokrasi berjalan lancar, saya mohon pengundi keluar awal pagi sebelum cuaca berubah,” katanya.-BH Online