Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang membangunkan sistem baharu bagi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kepada golongan rentan, yang dijadualkan beroperasi selewat-lewatnya awal 2027.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata naik taraf sistem itu perlu dilakukan bagi mengatasi kekangan sistem sedia ada yang mencapai tahap penggunaan maksimum, sekali gus menyebabkan kelewatan dalam penyaluran bantuan kebajikan bulanan.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH–Rasah) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini mengenai langkah memastikan bayaran Bantuan Kanak-Kanak (BKK), elaun Orang Kurang Upaya (OKU), bantuan warga emas serta program sokongan untuk ibu tunggal dan keluarga miskin bandar di Rasah dapat disalurkan dengan tepat pada masanya.

Nancy berkata JKM menyasarkan bayaran bantuan bulanan diselesaikan selewat-lewatnya pada 10 haribulan setiap bulan.

Namun, beliau berkata sebahagian kecil penerima masih mengalami kelewatan akibat kekangan sistem.

“Pada masa ini, bayaran disalurkan terus melalui Pemindahan Dana Elektronik (EFT) ke akaun bank penerima, dan mereka boleh memilih mana-mana bank yang paling dekat untuk kemudahan mereka,” katanya.

Dalam soalan tambahan, Kee Chin membangkitkan isu penerima yang terlepas tarikh pembaharuan tahunan yang perlu dilakukan setiap 12 bulan mengakibatkan bantuan mereka dihentikan sementara.

Beliau turut bertanya sama ada JKM akan membenarkan bayaran tunggakan bagi penerima layak yang terlepas tarikh pembaharuan dan apakah penyelesaian bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, termasuk individu muflis.

Nancy berkata JKM mengkategorikan penerima sedemikian sebagai ‘kes terlepas pandang’ dan permohonan mereka akan dipercepatkan, diselesaikan dalam tempoh sebulan.

“Bagi kes mendesak, JKM boleh memberi bantuan segera melalui dana kecemasan sementara pembaharuan diproses,” katanya.

Mengenai pemohon yang tidak mempunyai akaun bank atau berstatus muflis, beliau berkata kementerian memberi tempoh enam bulan untuk mereka membuka akaun baharu.

“Dalam tempoh itu, kita benarkan mereka menerima bantuan secara tunai supaya kelayakan mereka tidak dinafikan.”

Nancy berkata JKM kini menguruskan 556,300 kes dengan RM2.29 bilion dibelanjakan setiap tahun.

Beliau berkata JKM merujuk kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan sebanyak RM1,169 sebagai asas penilaian, namun ia bukan satu-satunya kriteria kerana pegawai turut menilai keperluan dan keadaan setiap pemohon.-BH Online