Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM521.35 juta duti eksais ke atas minuman bergula (SSB) berjaya dikutip sejak 2019 hingga November lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, berkata bagi tempoh dari 1 Julai 2019 hingga 31 Disember 2024, jumlah kutipan duti eksais ke atas SSB adalah sebanyak RM447.54 juta.

“Dari Januari sehingga November 2025, kutipan duti berkenaan berjumlah RM73.81 juta, menjadikan jumlah keseluruhan hasil duti eksais ke atas SSB sebanyak RM521.35 juta. 

“Kesemua hasil itu sudah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, selaras dengan Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Anwar menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin mengetahui berapa banyak cukai minuman manis yang sudah dikutip dan jumlah yang disalurkan kepada pembekalan ubat diabetes dan pelestarian Program Dialisis Peritoneal.

Menurut Anwar, pengenaan duti eksais ke atas SSB sudah berkuat kuasa mulai 1 Julai 2019 pada kadar 40 sen seliter berdasarkan nilai ambang kandungan gula yang ditetapkan. 

“Kadar duti eksais itu kemudiannya dinaikkan kepada 50 sen seliter mulai 1 Januari 2024 dan terkini kepada 90 sen seliter mulai 1 Januari 2025.

“Kenaikan kadar itu adalah antara langkah kerajaan untuk mengurangkan pengambilan minuman tinggi gula dalam kalangan rakyat Malaysia serta menyokong kempen ‘War on Sugar’ yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, selaras dengan komitmen Kerajaan melalui Belanjawan 2025, sebahagian tambahan hasil daripada kenaikan duti eksais itu akan diperuntukkan kepada KKM untuk membiayai perbelanjaan berkaitan kesihatan awam.

Khususnya, bagi penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibitors bagi rawatan diabetes dan meningkatkan penyediaan rawatan Dialisis Peritoneal untuk pesakit buah pinggang tahap akhir.

“Kerajaan sudah menyalurkan sebanyak RM25 juta daripada kutipan duti eksais ke atas SSB kepada KKM bagi melaksanakan program advokasi War on Sugar, pembelian ubat SGLT-2 untuk merawat pesakit Diabetes Mellitus dan menyediakan kemudahan Dialisis Peritoneal untuk merawat pesakit buah pinggang tahap akhir pada 2025,” katanya.-BH Online