Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan melalui JPBP dan NADMA telah menggerakkan semua agensi terlibat bagi menghadapi banjir yang menjejaskan beberapa negeri di utara dan Pantai Timur Semenanjung.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 63 Pusat Pemindahan Sementera (PPS) di seluruh kawasan yang terjejas telah diaktifkan

“Kerajaan juga telah memastikan semua mangsa yang dipindahkan ke PPS dibekalkan dengan barang keperluan bencana yang secukupnya seperti makanan asas, khemah, barang keperluan diri, ubat-ubatan dan sebagainya.

“Justeru, saya ingin menggesa semua mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS dan penduduk yang berada di kawasan berisiko agar mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa, bagi mengelak dan mengurangkan impak bencana terhadap nyawa dan harta benda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid Hamidi turut menegaskan kesiapsiagaan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut berada pada tahap optimum khususnya di Kelantan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan paras air dan banjir susulan musim tengkujuh.

“Ketika ini lebih 1,205 anggota APM Negeri Kelantan telah diaktifkan termasuk pasukan tambahan dari negeri-negeri berhampiran yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa.

“APM turut bersiap siaga bersama 91 aset darat dan air termasuk pelbagai jenis bot, ambulans, lori pelbagai guna, kenderaan pacuan empat roda, dron pemantauan serta peralatan menyelamat di air”, jelasnya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, operasi pemantauan situasi cuaca, paras air sungai dan kawasan cerun berisiko turut dipertingkatkan melalui pemantauan bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang beroperasi 24 jam, selain tindakan proaktif APM termasuk pengaktifan awal Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM di semua daerah termasuk Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai, Tanah Merah, Bachok dan daerah yang berisiko.

Operasi itu juga meliputi rondaan berkala menggunakan aset darat dan air di kawasan berisiko banjir serta hebahan maklumat terkini melalui media sosial APM serta kerjasama rapat dengan agensi lain pengurusan bencana.

“Saya juga menyarankan agar semua pihak mendapatkan maklumat dan amaran semasa situasi banjir melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPSInfoBanjir.

“Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

“Saya berdoa dan berharap agar kejadian ini tidak membawa kerosakan yang besar serta semua mangsa tabah dan sabar melalui dugaan ini,” katanya.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) setakat 4.00 petang Isnin, seramai 13,915 penduduk daripada 4,844 keluarga terjejas banjir susulan hujan lebat berterusan di beberapa negeri. 

Kelantan merekodkan penduduk terjejas paling ramai melibatkan 9,503 orang, diikuti Perak (1,538 orang), Perlis (1,426 orang), Kedah (542 orang), Pulau Pinang (414 orang), Selangor (283 orang) dan Terengganu (209 orang).-Berita RTM