Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara dilaporkan terus meningkat kepada 10,566 orang setakat jam 9 pagi, hari ini, membabitkan lapan negeri terjejas dengan 66 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,256 orang yang kini ditempatkan di 34 PPS.

Daerah yang terjejas termasuk Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh membabitkan 3,027 keluarga.

Dalam pada itu, Perak menjadi negeri kedua paling terjejas dengan 946 mangsa berlindung di 16 PPS yang dibuka di Perak Tengah, Manjung, Larut, Matang dan Selama serta Batang Padang.

Terengganu pula merekodkan 282 mangsa yang dipindahkan ke dua PPS di daerah Besut, manakala Kedah mencatatkan 342 mangsa di tiga PPS di daerah Kulim.

Pada masa sama, Perlis terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa iaitu 326 orang daripada 117 keluarga membabitkan dua daerah di Padang Besar dan Kangar.

Di Pulau Pinang juga terus meningkat dengan 242 mangsa daripada 57 keluarga berlindung di empat PPS di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.

Keadaan sama turut dicatatkan di Selangor dengan jumlah mangsa terkini seramai 59 orang daripada 18 keluarga yang sudah ditempatkan di dua PPS di Sabak Bernam.

Di Sarawak, seramai 44 mangsa daripada enam keluarga dilaporkan terjejas dan ditempatkan di satu PPS di daerah Miri.

Pihak berkuasa terus memantau keadaan cuaca dan paras air sungai di kawasan berisiko, selain menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan keselamatan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.-BH Online