Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BAYAN LEPAS, 23 November – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan sebarang tindakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya akan diputuskan selepas laporan penuh hasil siasatan bebas disiapkan sepenuhnya.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata pendirian itu selari dengan kenyataan Perdana Menteri yang mahu semua proses siasatan berjalan tanpa campur tangan agar hasilnya telus dan menyeluruh.

Menurutnya, siasatan tersebut sedang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.

“Siasatan yang diketuai Tun Raus perlu diselesaikan dahulu. Apabila beliau telah menyiapkan laporan itu, saya akan menelitinya dan kita akan bertindak sewajarnya berdasarkan hasil siasatan tersebut.

“Perdana Menteri juga telah menjelaskan bahawa kabinet sudah membincangkan perkara ini beberapa kali. Sebagai pihak berkepentingan yang melabur dalam bola sepak negara, kita mahu tahu apa sebenarnya berlaku dan bagaimana untuk mengelakkan perkara ini daripada berulang.

“Sebab itu kita tunggu laporan penuh Tun Raus sebelum mengambil tindakan,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Makan Malam Gala sempena Ulang Tahun ke-100 Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBA) di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Presiden PBA, Datuk Kah Kau Kiak.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak wujud usaha menutup skandal membabitkan pendaftaran tujuh pemain warisan oleh FAM, sambil menyifatkannya sebagai isu besar yang perlu ditangani mengikut prosedur.

Pada 3 November lalu, Jawatankuasa FIFA mengekalkan hukuman terhadap FAM serta tujuh pemain warisan terbabit atas kesalahan memalsukan dokumen di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA.-Berita RTM