JOHANNESBURG, 23 November – Malaysia menggariskan tiga cadangan utama bagi menangani cabaran perubahan iklim global, termasuk menerapkan pendekatan lebih meluas dan pelbagai terhadap tindakan iklim, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Apabila semua perjanjian global terjejas, kemajuan masih boleh dicapai menerusi pertubuhan serantau serta pakatan subnasional seperti wilayah, negeri dan bandar-bandar,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada sesi intervensi Sesi 2: Dunia yang Berdaya Tahan – Sumbangan G20 yang merangkumi pengurangan risiko bencana, perubahan iklim, peralihan tenaga yang saksama dan sistem makanan.
Datuk Seri Anwar menegaskan, pengalaman ASEAN membuktikan platform serantau dapat memajukan tindakan iklim, kerjasama bencana dan keterhubungan tenaga walaupun proses global menghadapi kesukaran.
Perdana Menteri menekankan keperluan menerima pragmatisme teknologi dalam usaha menangani perubahan iklim.
“Sekiranya bahan api fosil tidak dapat dilenyapkan secara pantas, kita memerlukan teknologi yang dapat mengurangkan jejaknya,” katanya.
Sehubungan itu, usaha pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), pengurangan metana serta penyahkarbonan industri menjadi elemen penting.
“Malaysia sedang melabur secara kukuh ke arah langkah ini, termasuk pembangunan hab pemerangkapan dan penyimpanan karbon,” tambah Datuk Seri Anwar.
Datuk Seri Anwar juga mengetengahkan peranan Grid Kuasa ASEAN dan Saluran Paip Gas Rentas ASEAN yang dapat mempercepat integrasi tenaga boleh baharu (TBB) selain mengukuhkan keterjaminan tenaga ketika rantau itu meningkatkan penggunaan tenaga bersih. “Inilah bentuk pendekatan yang dapat merealisasikan peralihan itu,” kata beliau.
Merujuk cadangan ketiga, Perdana Menteri menyeru negara-negara bertindak mempercepat aspek penerimagunaan berikutan impak perubahan iklim yang terbukti mengancam nyawa dan menjejaskan punca pendapatan.
“Tanpa penerimagunaan yang kukuh serta sokongan kepada petani, puluhan juta orang berisiko mengalami kelaparan menjelang 2050. Sehubungan itu, tindakan meningkatkan pertanian pintar iklim, mengembangkan rangkaian sistem amaran awal serta menyokong pekebun kecil akan menjadi penting bagi kestabilan di kebanyakan wilayah,” kata Datuk Seri Anwar.-Berita RTM
