LANGKAWI, 22 November – 3,472 Program Kesejahteraan Komuniti dengan peruntukkan sebanyak RM115.104 juta telah dikasanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sepanjang tahun ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dengan peruntukkan sebanyak RM61.8 juta, Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) sebanyak RM2.02 juta serta Program Local Agenda 21 dengan RM980,000.
Selain itu, Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK) menerima RM304,000 dan Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sebanyak RM50 juta.
“Pihak kementerian akan terus memperhebatkan pelaksanaan pelbagai inisiatif KPKT yang memberi manfaat langsung kepada komuniti bandar di seluruh negara, selaras dengan ASPIRASI MADANI melalui Teras Kesejahteraan Sosial,” katanya dalam ucapan bersempena siri jelajah Sentuhan Kejayaan KPKT di Langkawi, Kedah, pada Sabtu.
Sementara itu, penerima bantuan, Adira Yatim menyifatkan bantuan tersebut amat membantu beliau sekeluarga.
“Rumah kami kena ribut, atap semua tercabut. Apa yang ada, kami angkat dan selamatkan. Alhamdulillah, terima kasih atas sumbangan ini. Dengan bantuan yang diterima, kami rasa lebih selesa untuk duduk buat sementara. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Bagi seorang lagi penerima bantuan, Nirmala yang mendapat bantuan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang perihati dengan bumbung rumahnya yang dimakan anai-anai.
“Saya berterima kasih kepada Kerajaan MADANI. Saya sangat gembira menerima bantuan ini,” ujarnya.
Sentuhan Kejayaan KPKT juga menggambarkan iltizam kementerian untuk terus memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada komuniti di seluruh negara melalui kolaborasi kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Pada program tersebut turut berlangsung penyerahan bantuan sebanyak RM20,000 kepada 17 penerima Program Baik Pulih Rumah di Bandar.-Berita RTM
