Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri mengambil inisiatif menubuhkan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP), sebuah perancangan strategik yang memastikan setiap daerah di negeri ini mempunyai sektor tumpuan dan sumbangan unik terhadap ekonomi negeri.

Ia sekali gus menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan negeri berlaku secara menyeluruh dan tidak tertumpu hanya di kawasan Johor Bahru serta Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata menerusi JETP pembangunan Johor dirangka untuk merentasi 10 daerah dan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Saya mengambil maklum pandangan ikhlas dan kebimbangan yang mengatakan bahawa Kerajaan Negeri terlalu memberi tumpuan, hanya kepada pembangunan di Johor Bahru dan JS-SEZ.

“Sebagai Menteri Besar, saya tidak sekali-kali lupa untuk memperjuangkan kemajuan dan pembangunan yang menyeluruh demi manfaat 4 juta rakyat Johor yang saya kasihi.

“JS-SEZ berperanan sebagai pemangkin, pencetus, tapak asas dan batu loncatan kepada agenda jauh lebih besar, JS-SEZ bukan destinasi akhir Johor. Destinasi hakiki kita ialah Negeri Johor yang maju sepenuhnya menjelang 2030,” katanya ketika ucapan penggulungan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Majukan setiap daerah

Beliau berkata, antara pemetaan sektor di bawah JETP ialah hab kecerdasan buatan (AI), pembuatan berteknologi tinggi, ekonomi digital, aeroangkasa dan perkhidmatan berorientasikan eksport bagi daerah Johor Bahru dan Kulai.

“Segamat akan menjadi zon tanaman bernilai tinggi dan pemprosesan biojisim; Tangkak pula sebagai pusat transit strategik dan agro-pelancongan; manakala Muar menjadi kompleks tenaga perindustrian dan industri pemprosesan makanan bernilai tinggi.

“Selain itu, industri pemprosesan dan pembuatan akan ditumpukan di Batu Pahat; Pontian dengan hab tenaga biru-hijau dan akuakultur serta Kota Tinggi pula sebagai gerbang tenaga, kimia hijau, pertanian dan pelancongan.

“Mersing pula dengan hab ekonomi biru dan eko-pelancongan; manakala Kluang menjadi hab agro-pemprosesan bernilai tinggi dan logistik,” jelasnya.

Menurut Onn Hafiz, JETP turut menyasarkan tiga objektif utama menjelang 2030 iaitu menggandakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor kepada RM260 bilion; meningkatkan KDNK per kapita melebihi RM69,000 dan mewujudkan 200,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.

Katanya, sebanyak 13 daripada 32 inisiatif di bawah JETP juga telah dikenal pasti sebagai inisiatif berimpak tinggi dan akan dipercepatkan pelaksanaannya.

“Saya yakin bahawa JETP akan memastikan pembangunan Johor berlaku secara inklusif, seimbang, dan mengangkat seluruh negeri menuju status negeri maju menjelang 2030,” katanya.-BH Online