PUTRAJAYA, 17 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan rasmi ke Benua Afrika esok (18 November) hingga 24 November depan; merangkumi tiga buah negara iaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.
Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, lawatan tersebut turut bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan selain meneroka serta mempelbagai pasaran baru di rantau berkenaan.
“Kerajaan MADANI menaruh harapan yang tinggi agar rangkaian pertemuan di Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya ini akan memperkasa persahabatan, memacu perdagangan dan membuka limpahan peluang baharu demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Perdana Menteri turut memohon doa dan sokongan semua rakyat Malaysia agar segala perbincangan dan tumpuan yang akan berlangsung di tiga negara ini dipermudah dan setiap hasilnya kelak akan dapat membawa manfaat langsung yang mampu dirasai semua lapisan masyarakat,” katanya.
Tambah Yunku Nashrul, lawatan rasmi kali ini juga akan turut disertai oleh delegasi perniagaan termasuk syarikat korparat kerajaan serta perusahaan inovatif Malaysia.
Kehadiran mereka juga membolehkan padanan segera antara keperluan pasaran tempatan di benua afrika serta syarikat tempatan Malaysia.
Manakala pemilihan delegasi perniagaan ditentukan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai kementerian bertanggungjawab dalam hal ehwal pelaburan, perdagangan dan Industri. – Berita RTM
