Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Syarikat tenaga boleh baharu (TBB) berpangkalan di Korea Selatan, JC Chemical Co Ltd menyatakan minat untuk membuka kilang pemprosesan Minyak Masak Terpakai (UCO) Bertapis di Malaysia untuk digunakan sebagai bahan api penerbangan mampan (SAF).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata projek itu juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030). 

“Projek ini juga akan meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk pengeluaran bahan mentah SAF, sekali gus mengukuhkan rantaian nilai biobahan api negara,” kata beliau menerusi hantaran di laman sosial X hari ini.

Laporan sebelum ini menyatakan Malaysia dijangka mula mengeluarkan SAF dalam negara sebelum akhir 2025 menerusi permulaan operasi komersial Ecoceres Renewable Fuels Sdn Bhd di Tanjung Langsat, Johor.

Kerajaan juga telah memudah cara urusan pelesenan di bawah Akta Industri Biobahan Api Malaysia 2007 bagi pembangunan loji pengeluaran SAF serta menyokong infrastruktur berkaitan seperti penyimpanan, pengadunan, pengangkutan dan pengagihan.-BERNAMA