Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 3 November– Malaysia menggesa agar keganasan di Sudan dihentikan serta-merta dan menuntut perlindungan menyeluruh terhadap orang awam selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ini susulan tragedi kemanusiaan yang semakin parah di El Fasher dan seluruh wilayah Darfur, Sudan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook rasmi turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap krisis yang sedang berlaku di wilayah itu dan menyifatkannya sebagai bencana kemanusiaan yang melibatkan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran serta perpindahan penduduk secara besar-besaran.

“Laporan berhubung kekejaman yang dikategorikan sebagai jenayah kemanusiaan, malah pembunuhan beramai-ramai, tidak boleh diterima,” kata kenyataan itu.

Malaysia turut menegaskan solidariti padu terhadap rakyat Sudan dan menyeru masyarakat antarabangsa bertindak tegas bagi menghentikan penderitaan, memulihkan akses bantuan kemanusiaan serta menyokong usaha damai ke arah keamanan yang menyeluruh.-Berita RTM