KUALA LUMPUR: Pihak Roblox iaitu aplikasi permainan dalam talian yang popular memberi jaminan akan mempertingkat tahap keselamatan melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan manusia.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata pihak Roblox turut memaklumkan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan terutama dalam perkongsian data dan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Hannah menzahirkan kebimbangan mengenai keselamatan kanak-kanak yang banyak menggunakan aplikasi itu kepada pihak Roblox.
“Kita mahu dunia digital yang bukan saja menyeronokkan, tetapi juga membina karakter dan nilai yang betul untuk generasi akan datang,” katanya yang turut memuat naik gambar beliau bersama pihak Roblox.
Pada Sabtu lalu, seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun parah apabila lehernya dikelar abangnya yang berusia sembilan tahun dengan objek tajam di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata siasatan awal mendapati abang mangsa mungkin mencederakan adiknya selepas permainan Roblox yang dimainnya terganggu dan semua ‘point’ dikumpulnya hilang.
Hannah berkata, platform seperti Roblox kini mempunyai lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia termasuk lebih sejuta di Malaysia.
“Dengan capaian sebesar ini, tanggungjawab melindungi pengguna muda tidak boleh dipandang ringan.
“Sebagai Menteri Belia dan Sukan serta juga seorang ibu, saya risau apabila melihat bagaimana sesetengah permainan secara dalam talian boleh mempengaruhi tingkah laku dan emosi kanak-kanak,” katanya. – BERNAMA
