JOHOR BAHRU: Medan Niaga Kampung Melayu Majidee di sini, kini berwajah baharu selepas siap sepenuhnya kerja naik taraf membabitkan kos keseluruhan RM27.5 juta, menjadikannya antara mercu tanda ekonomi tempatan yang menjadi kebanggaan warga Johor Bahru.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata projek pembangunan semula pasar awam berkenaan dilaksanakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan sokongan Kerajaan Persekutuan menerusi peruntukan RM19.8 juta, serta tambahan peruntukan RM7.79 juta bagi kerja naik taraf yang siap sepenuhnya pada tahun 2024.
“Medan Niaga itu kini menempatkan 147 unit premis terdiri daripada bazar, pasar basah, medan selera dan kedai serbaneka, sekali gus menjadi pusat perniagaan moden yang mengekalkan identiti budaya dan komuniti setempat.
“Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang meninjau sendiri Medan Niaga Kampung Melayu Majidee yang menjadi nadi ekonomi masyarakat setempat serta ruang rezeki kepada peniaga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, pihaknya turut mengambil maklum beberapa cadangan daripada peniaga termasuk penambahbaikan fasiliti mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
Malah katanya kebersihan kawasan, penyelenggaraan longkang dan sistem perangkap lalat, selain pengudaraan serta pencahayaan waktu malam bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung juga antara cadangan yang diutarakan.
“Kerajaan Negeri komited memastikan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi terus menjadi pusat tumpuan rakyat dan ruang rezeki kepada peniaga, di samping menyediakan makanan yang sedap, harga berpatutan dan suasana yang selesa untuk semua lapisan masyarakat.
“Usaha ini seiring dengan tekad Kerajaan Negeri dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat, memperkukuh ekonomi tempatan dan memastikan kesejahteraan seluruh Bangsa Johor sentiasa terpelihara. Insa’Allah,” katanya.-BH Online

