Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KAJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengutip RM57 bilion hasil negara bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata pencapaian itu melepasi unjuran awal RM54.62 bilion ditetapkan Kementerian Kewangan (MoF) yang menunjukkan lebihan sebanyak RM2.38 bilion dengan kadar pencapaian 104.36 peratus.

“Sehingga 30 September 2025, kutipan hasil telah melepasi sasaran ditetapkan MoF sebelum pembentangan Belanjawan 2026. Bagaimanapun, susulan pembentangan Belanjawan 2026, kita kini sedang melakukan penjajaran terhadap sasaran semakan.

“Insya-Allah kita sedang bekerja keras memastikan sasaran ditetapkan kerajaan dicapai akhir tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ulang Tahun ke-62 Penganugerahan Gelaran Diraja JKDM, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sasaran awal kutipan hasil bagi tahun ini ditetapkan pada RM67.25 bilion, manakala sasaran baharu susulan pembentangan Belanjawan 2026 ialah RM73.26 bilion.

Anis Rizana berkata, JKDM yakin dapat mencapai sasaran berkenaan menjelang akhir tahun ini susulan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program yang telah dirangka sejak awal tahun, berasaskan pengalaman jabatan menghadapi tekanan sasaran tinggi menjelang hujung tahun.

Sementara itu, Anis Rizana berkata penganjuran majlis ulang tahun ke-62 penganugerahan Diraja bukan sekadar untuk memperingati sejarah, tetapi juga sebagai suntikan semangat kepada warga JKDM untuk terus melaksanakan amanah dengan penuh integriti.

“Sambutan itu memberi motivasi untuk terus bekerja lebih keras dalam melunaskan amanah iaitu mengutip hasil negara, memudahkan fasilitasi perdagangan dan menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Penganugerahan gelaran Diraja pada 29 Oktober 1963 merupakan pengiktirafan tertinggi negara terhadap sumbangan besar Jabatan Kastam dan Eksais kepada nusa dan bangsa.

Pada era awal penubuhan Malaysia, jabatan itu menjadi tonggak utama pembangunan negara melalui kutipan hasil yang ketika itu menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil kerajaan Persekutuan setiap tahun.-BERNAMA