Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kebolehlaksanaan integrasi sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah dengan sistem pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diteliti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia bagi memastikan pengawasan keselamatan dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diperuntukkan RM8 juta bagi pemasangan CCTV di sekolah dan cadangan pengintegrasian itu akan mengambil kira keupayaan perkakasan, sistem dan perangkaian sedia ada.

“Saya akan meminta KDN meneliti kemungkinan pelaksanaan integrasi ini supaya pengawasan dapat dibuat secara masa sebenar.

“Dalam masa yang sama, saya juga telah mengarahkan pasukan polis untuk meningkatkan pengawasan di kawasan sekolah melalui rondaan dan kehadiran fizikal yang berterusan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Saifuddin turut mendedahkan, bagi tempoh 2022 hingga Jun 2025, sebanyak 687 kes buli di sekolah direkodkan, dengan 105 kes dicatat antara Januari hingga Jun tahun ini.

“Selepas pindaan Kanun Keseksaan dengan memasukkan Seksyen 507B hingga 507G, polis telah membuka 87 kertas siasatan kes buli sepanjang Ogos hingga September tahun ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut, sebanyak 112 kes rogol di kawasan sekolah dilaporkan bagi tempoh 2022 hingga 2025 manakala dua kes bunuh turut direkodkan, masing-masing melibatkan pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama.-Berita RTM