Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diperhebat bagi mengatasi cabaran kekurangan tenaga kerja mahir di dalam industri pembinaan negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan menerusi usaha Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis TVET Negara telah menggerakkan pelbagai usaha menyelaras program TVET di beberapa agensi kerajaan.

“Kerajaan memang ada dasar tertentu untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga mahir pada masa akan datang. Program TVET telah diperhebatkan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid sendiri akan mengetuai usaha untuk menyelaras program TVET di agensi kerajaan agar lebih berkesan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di universiti bagi menangani isu kekurangan tenaga mahir tersebut.

“Kita akui negara masih kekurangan tenaga mahir seperti jurutera dan sebagainya. Maka sebab itu, kita tekankan pelajaran STEM kepada pelajar-pelajar universiti. Kita menggalakkan mereka untuk mendalami bidang kejuruteraan dan sebagainya agar industri pembinaan kita tidak berdepan dengan isu kekurangan tenaga mahir pada masa akan datang”, tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan Buildxpo 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata industri pembinaan global khususnya di Asia terus berkembang pesat walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Lebih 70 peratus pemaju melaporkan kenaikan kos operasi dan 60 peratus menghadapi kekangan tenaga kerja dan bahan binaan.

Namun, sektor pembinaan Malaysia kekal utuh dan terus berkembang, berdasarkan pengesahan Kajian Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia pada separuh pertama 2025,” jelasnya.

ICW & Buildxpo 2025 diadakan selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Oktober itu menampilkan lebih 350 pempamer daripada 200 buah syarikat melibatkan 10 buah negara.-Berita RTM