GYEONGJU, 29 Oktober – Peranan penting Malaysia bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merealisasikan perjanjian damai antara Thailand dengan Kemboja terus mendapat pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Terbaharu, beliau memberi pujian berhubung perkara itu pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2025 di sini, hari ini.
Trump menyifatkan Malaysia sebagai negara yang luar biasa kerana berjaya membantu memudahkan proses rundingan hingga pelaksanaan gencatan senjata dan perjanjian damai antara kedua-dua negara terlibat konflik.
Sekali gus, mewujudkan keamanan di kawasan sempadan yang dipertikaikan sekian lama dan menyelamatkan jutaan nyawa.
“Kami menggunakan kemudahan di Malaysia (untuk rundingan gencatan senjata) kerana situasi konflik antara Thailand dengan Kemboja terlalu panas dengan peluru beterbangan di merata tempat. Malaysia memang luar biasa” katanya.
Perjanjian damai tersebut ditandatangani di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Dokumen yang dikenali sebagai Perjanjian Damai Kuala Lumpur itu ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Manet.
Ia disaksikan Presiden Trump dan Datuk Seri Anwar.-Berita RTM
