Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bakal memperluaskan konsep Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) khusus untuk kanak-kanak autisme, tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bagi merealisasikan hasrat itu, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk membangunkan modul kurikulum.

Katanya, konsep Tabika seperti itu, bakal menjadi ‘game changer’ selepas konsep pendidikan awal pra tahfiz sudah dilaksanakan sebelum ini.

“Selain memperluas Tabika KEMAS Pra Tahfiz, kami juga menyantuni masalah autisme yang mana tahun hadapan, setiap negeri kita akan membina Tabika KEMAS autisme,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid menjelaskan jika KKDW memperoleh peruntukan secukupnya, setiap daerah bakal mempunyai sebuah Tabika KEMAS Autisme pada 2027.

Beliau berkata, usaha itu sekali gus dapat membantu mengurangkan beban kewangan perlu ditanggung waris untuk menghantar anak istimewa mereka mendapatkan pendidikan awal di Tabika berkenaan.

“Kalau anak-anak autisme dihantar belajar di Tabika di luar KEMAS, kosnya terlalu mahal dan mungkin akan menimbulkan bebanan kewangan kepada ibu bapa. 

“Oleh itu, kita lakukan perkara itu (perkenal Tabika KEMAS Autisme),” katanya.

Rancangan itu turut mendapat pujian Ahli Parlimen pembangkang, antaranya Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang menyifatkan ia satu usaha yang bagus.-BH Online