SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersedia membawa pulang semua pelajar yang terkandas di Lapangan Antarabangsa Terbang Soekarno-Hatta, Khamis lalu, yang didakwa berpunca daripada masalah pengurusan ejen pelancongan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihaknya akan menghubungi Kedutaan Malaysia di Jakarta untuk langkah susulan berhubung perkara itu.
“Kita akan hubungi pihak kedutaan (di Jakarta) jika ada perlu sokongan bantuan untuk bawa balik (pelajar ini), kerajaan negeri bersedia untuk sewa khas penerbangan ataupun uruskan kepulangan mereka.
“Jadi saya akan semak nanti dengan pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan (KPM) kalau ada perlu sokongan tertentu. Kita bersedia bantu bawa balik mereka selepas terkandas. Saya percaya ada isu tertentu perlu kita tangani,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Idea (FOI) peringkat Selangor 2025 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan 61 pelajar sekolah dari Selangor terkandas lebih tiga jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas ejen pelancongan tidak muncul untuk menguruskan pengangkutan dan penginapan mereka.
Dalam kejadian pada jam 3 petang waktu tempatan itu, kumpulan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kapar itu tiba menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, berkata sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, pihak kedutaan terus mengambil tindakan pantas menempatkan semua pelajar berkenaan di sebuah hotel berhampiran lapangan terbang dengan bantuan ejen pelancongan tempatan yang juga rakyat Malaysia.-BH Online
