KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Kadar pemberian khas Kerajaan MADANI kepada Sabah bagi tahun 2025 meningkat kepada RM600 juta berbanding RM26.7 juta pada 2019.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran penuh telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 10 September lalu.
Beliau berkata jumlah itu bersifat interim, sementara kaedah baharu ditetapkan bersama Kerajaan Sabah bagi menentukan formula pemberian khas yang lebih adil dan mampan.
“Pada 2025 Kerajaan Persekutuan sekali lagi melaksana kajian semula dan mencapai persetujan dengan Kerajaan Sabah untuk menaikkan sekali ganda lagi pemberian khas kepada RM600 juta ketimbang RM26.7 juta semasa rakan-rakan di sebelah sana menjadi Kerajaan Persekutuan.
“Pemberian keseluhan RM600 juta ini telah pun disempurnakan pada 10 September yang lalu kepada Kerajaan Sabah, tetapi keputusan ini adalah bersifat interim, ia tidak muktamad, sementara Kerajaan Persekutuan dan Sabah sedang merumuskan kaedah baharu yang menentukan kiraan pemberian khas pada masa depan”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Penerangan Khas di Dewan Rakyat bagi menegaskan komitmen Kerajaan MADANI memenuhi semua obligasi terhadap Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa perbelanjaan persekutuan di Sabah mencecah RM17 bilion bagi tahun 2025 hingga 2026, melebihi hasil kutipan di negeri itu kira-kira RM10 bilion setahun.
Menurutnya, sebanyak 13 tuntutan MA63 telah diselesaikan termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada kerajaan negeri serta mengiktiraf Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.-Berita RTM