KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Bermula 1 Januari 2022 hingga 15 Oktober tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengemukakan sebanyak 3,074 permohonan kepada penyedia perkhidmatan bagi menurunkan kandungan pemalsuan (deepfake).
Daripada jumlah itu, 2,354 kandungan berjaya diturunkan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, bagi kandungan palsu, sebanyak 55,218 permohonan telah dibuat dan 46,966 kandungan telah diturunkan.
Tindakan penurunan ini dibuat berdasarkan aduan yang diterima serta garis panduan komuniti yang telah ditetapkan oleh setiap platform, selaras dengan undang-undang tempatan.
“Selaras dengan pindaan kepada Seksyen 233 (1) Akta 588, kandungan palsu yang disebarkan dengan niat untuk melakukan fraud atau kecurangan kepada mana-mana orang merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM500,000.
“… atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali dan denda selanjutnya RM5,000 setiap hari kesalahan diteruskan, jika disabitkan kesalahan”, katanya di Dewan Rakyat.
Ketika ini, MCMC sedang membangunkan instrumen-instrumen subsidiari di bawah Akta 866 yang turut memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan, termasuk berkenaan pengurusan risiko dalam talian.
Selain, sedang mengkaji pengenalan kaedah pengesahan umur dan identiti pengguna bagi memastikan kebolehlaksanaan secara praktikal di platform dalam talian.
Penjelasan tersebut bagi menjawab soalan wakil Labuan Datuk Indera Dr Suhaili Abdul Rahman minta kementeriannya menyatakan langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh kementerian bagi membendung penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga menimbulkan keresahan awam dan ketegangan antara kaum.-Berita RTM
