Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TOKYO: Dewan Rendah Parlimen Jepun melantik Sanae Takaichi, seorang ahli konservatif yang terkenal dengan pendiriannya yang kritikal terhadap China, sebagai perdana menteri wanita pertama negara itu.

Ahli politik berusia 64 tahun itu dilantik secara tidak dijangka melalui undi majoriti pada pusingan pertama pengundian dan secara rasmi memegang jawatan itu selepas menghadap Maharaja Jepun, lewat hari ini.

Menurut kakitangan Dewan Rendah, Takaichi sebagai Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah, menerima 237 undi melebihi majoriti daripada 465 kerusi dalam dewan berkenaan.

Takaichi akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Jepun ke-104 petang ini bagi menggantikan penyandang jawatan, Shigeru Ishiba, yang bulan lalu mengumumkan peletakan jawatannya untuk mengambil tanggungjawab atas kekalahan pilihan raya.

Bekas pemain dram kumpulan muzik heavy metal itu dipilih mengetuai LDP pada 4 Oktober lalu selepas ditolak rakyat Jepun pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Sekutu LDP iaitu Parti Komeito menarik diri daripada gabungan disebabkan skandal dana LDP dan pandangan konservatif Takaichi.

Tindakan itu memaksanya mencari sekutu baharu dan gabungan bersama parti berhaluan kanan, Japan Innovation Party (JIP) dimeterai malam semalam.

JIP menyokong dasar termasuk penghapusan cukai pengguna ke atas makanan, pengurangan bilangan ahli parlimen, serta pengharaman sumbangan politik daripada korporat dan organisasi.

Takaichi berjanji akan “menguatkan ekonomi Jepun dan membentuk semula negara itu agar lebih bertanggungjawab kepada generasi akan datang.”

Takaichi turut merancang untuk membentuk Kabinet dengan perwakilan wanita seperti di negara-negara Nordik, berbanding hanya dua wanita semasa di bawah pentadbiran Ishiba. – Agensi-BH Online