Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AMPANG: Kerajaan Selangor menetapkan keutamaan berbahasa dan melazimi bahasa Melayu sebagai syarat utama dalam pemilikan tanah, hak milik dan premis di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata syarat itu dilihat penting untuk memastikan seseorang itu layak ditakrifkan sebagai orang Melayu dan wajar memiliki kuota tanah di Selangor.

Katanya, itulah adalah tafsiran asas untuk memastikan seseorang itu Melayu atau Bumiputera selain mengamalkan adat istiadat orang Melayu dan beragama Islam.

“Perkara ini sudah tertera dalam Perlembagaan, tertulis dalam peraturan-peraturan penting pemilikan tanah, hak kewarganegaraan sampailah kepada papan tanda.

“Ia merujuk betapa pentingnya bahasa Melayu yang akan membentuk perpaduan dan semangat patriotisme dalam kalangan semua orang,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 Peringkat Kebangsaan. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga amat patuh kepada Akta Bahasa Kebangsaan apabila semua papan tanda, nama jalan dan tempat ditulis dengan pematuhan sepenuhnya terhadap Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Malahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menekankan penggunaan bahasa Melayu yang suatu ketika dulu timbul isu.

“Dan sekarang ia ditetapkan harus dalam tulisan jawi atau rumi dalam bahasa Melayu supaya kita memperkukuhkan dan mempertingkatkan pelaksanaan kepada seluruh masyarakat,” katanya.-BH Online