KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini, bukan sekadar angka dan perbelanjaan.
Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan Belanjawan 2026 yang juga belanjawan keempat bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, adalah hala tuju bagi memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
“Insya-Allah pada petang ini, saya akan membentangkan Belanjawan MADANI Keempat di Dewan Rakyat.
“Belanjawan ini bukan sekadar angka dan perbelanjaan, tetapi hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
“Saksikan pembentangan Belanjawan MADANI 2026 secara langsung di semua saluran televisyen dan platform digital utama,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, pagi ini.
Belanjawan 2026 adalah belanjawan keempat yang dibentangkan Kerajaan MADANI pimpinan Anwar, dan yang pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menurut kenyataan Prabelanjawan 2026 yang disiarkan melalui laman sesawang khas Kementerian Kewangan, Belanjawan 2026 akan meneruskan momentum berpandukan asas kukuh yang telah dibina menerusi Belanjawan MADANI sebelum ini.-BH Online
