Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah melaksanakan penstrukturan semula perolehan aset melalui Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform) selaras perubahan landskap geostrategik semasa yang semakin kompleks.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata penstrukturan semula turut dilaksanakan akibat keupayaan kewangan dalam bajet pertahanan serta cabaran dalam industri membabitkan pemain industri dari dalam dan luar negara.

Mengenai rancangan perolehan kapal sokongan logistik pelbagai peranan (MRSS), katanya ia sudah didaftarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), iaitu di bawah Rancangan Perolehan 1 (RP1) 2026.

Katanya, perolehan aset itu adalah sebahagian daripada Platform, yang juga inisiatif TLDM untuk mengurangkan 15 kelas kapal kepada lima kelas melalui penggantian aset dengan matlamat untuk memperkasa pertahanan negara dan mengurangkan jurang keupayaan agensi itu. 

“Platform dilaksanakan melalui pengurangan kepada lima kelas kapal yang baharu iaitu kapal selam, kapal tempur pesisir pantai (LCS), kapal peronda generasi baharu (NGPV), kapal misi pesisir (LMS) dan MRSS. 

“Strategi ini dirancang untuk menjana penjimatan secara bijaksana melalui penumpuan kepada bilangan kelas kapal yang lebih sedikit, tanpa menjejaskan jumlah kapal mahupun keupayaan tempur keseluruhan armada,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis dipaparkan menerusi laman sesawang Parlimen.

Mohamed Khaled menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai rancangan perolehan MRSS yang berjaya dimasukkan dalam RMK13 serta sama ada TLDM sudah meminda program Transformasi 15 to 5.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata dalam dokumen Platform, TLDM sudah menyusun semula perolehan mengikut keutamaan sehingga 2040 yang dikenali sebagai Force Structure 2040 (FS40).

“Namun begitu, secara dasarnya, objektif dan matlamat asal Pelan Transformasi TLDM 15to5 adalah tidak berubah,” katanya.-BH Online