KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Agensi Persendirian (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan menambah baik proses pengeluaran dan pembaharuan lesen bagi menjalankan perniagaan agensi persendirian dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, ketika membentangkan RUU itu berkata bacaan kali kedua akan dibuat pada sidang yang sama.
Menurut naskhah biru, RUU itu bertujuan meminda Akta Agensi Persendirian 1971 (Akta 27) dengan memasukkan subseksyen baharu (2A) untuk mengadakan peruntukan tempoh sah suatu lesen yang dikeluarkan di bawah akta itu hingga 31 Disember dalam tahun kalendar sama, atau tahun berikutnya.
Selain itu, pindaan dibuat bagi memotong Seksyen 5 Akta 27 yang memperuntukkan senarai agensi persendirian berlesen perlu disiarkan dalam warta pada bulan Mac setiap tahun bagi membolehkan orang awam membuat semakan agensi yang berlesen dan yang dibatalkan.
“Selaras dengan perkembangan semasa, segala tadbir urus agensi persendirian menggunakan sepenuhnya sistem dalaman Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Melalui sistem ini, KDN menyediakan kemudahan kepada orang awam membuat semakan dan carian status ke atas mana-mana agensi persendirian melalui semakan secara dalam talian pada bila-bila masa,” menurut RUU itu.
RUU itu turut mencadangkan pindaan kepada Seksyen 9 yang memberi kuasa kepada Ketua Polis Negara untuk mengeluarkan surat kelulusan atas permohonan sesuatu agensi persendirian berlesen untuk mengambil seseorang bekerja di agensi berkenaan.-BH Online