SEPANG, 6 Oktober – Seramai 167 keluarga bekas pekerja ladang di Dengkil akhirnya menerima surat tawaran rumah baharu di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, sekali gus menamatkan penantian lebih 25 tahun.
Mereka sebelum ini ditempatkan sementara di Rumah Kos Rendah (RKR) Taman Permata, selepas dipindahkan dari beberapa ladang termasuk Ladang Perang Besar, bagi memberi laluan kepada pembinaan Putrajaya sekitar tahun 1998.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata projek perumahan tersebut bernilai lebih RM88 juta.
Beliau berkata pemilik rumah yang sudah menerima surat tawaran boleh mendiami kediaman masing-masing selepas menyelesaikan beberapa perkara termasuk utiliti.
“Untuk rekod, ini penyelesaian pemilikan kedua selepas lima ladang yang juga atas sokongan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Hulu Selangor yang melibatkan kos RM75 juta yang melibatkan ladang St. Mary, Ladang Batang Berjuntai dan sebagainya.
“Insya-Allah dengan kolaborasi yang rapat dan kuat ini, kita dapat selesaikan. Cuma yang saya sebut tadi, bukanlah 100 peratus semua dapat rumah esok, sebab ada isu-isu yang berkaitan selesai. Pertama, bayaran komitmen. Kemudian, pewarisan sebab ada yang meninggal dunia dan juga beberapa pembayaran utiliti, nak elektrik, masuk air.
“Mereka perlu bayar kos yang tertentu. Tetapi mereka hanya perlu bayar di antara kira-kira RM20,000 hingga RM30,000 sahaja, lebih kurang untuk memiliki satu aset yang nilainya lebih kurang RM150,000 dan ini adalah satu nilai yang sangat berjaya, saya rasa untuk penduduk-penduduk yang telah menunggu terlalu lama, lebih 20 tahun”, katanya.
Kawasan perumahan itu turut dilengkapi balai komuniti, kawasan lapang, serta empat unit rumah mesra orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Projek Perumahan Rakyat Ampar Tenang, Dengkil, Sepang, Selangor.
Sementara itu, Datuk Seri Amirudin berkata, Selangor menyasarkan penyediaan sehingga 4,000 unit kediaman menerusi Skim Smart Sewa menjelang tahun 2027 hingga 2028.
Setakat ini, kira-kira 1,000 unit rumah telah disediakan di bawah skim berkenaan dan jumlah itu dijangka meningkat seiring dengan siapnya projek Rumah Idaman dan Rumah Harapan di seluruh negeri.
Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah sendiri dengan pulangan semula 30 peratus daripada jumlah sewaan selepas tempoh sewaan tamat.-Berita RTM