Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan lawatan Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif, berupaya membuka lembaran baharu kerjasama strategik demi kesejahteraan rakyat dua negara.

Perdana Menteri berkata, kunjungan Shehbaz ke Malaysia juga mampu mengukuhkan persahabatan antara Pakistan dan negara ini.

“Pagi tadi saya meraikan ketibaan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz dan delegasinya yang diberi sambutan rasmi termasuk pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

“Lawatan ini bukan sekadar mengukuhkan persahabatan dua negara, tetapi juga membuka lembaran baharu kerjasama strategik demi kesejahteraan rakyat Malaysia dan Pakistan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Muhammad Shehbaz memulakan rawatan rasmi semalam tiga hari ke negara ini bermula semalam.

Pesawat khas yang membawa Shehbaz dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.46 malam tadi dan ketibaan mereka disambut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu sebagai membalas lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024 dan Shehbaz diiringi menteri Kabinet, termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Mohammad Ishaq Dar.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, selepas selesai sambutan rasmi, beliau dan Shehbaz mengetuai delegasi masing-masing dalam sesi mesyuarat dua hala.

“Pertemuan tertutup itu berlangsung dalam suasana mesra, terbuka dan konstruktif,” katanya.- BH Online