KUALA LUMPUR: Prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan pada 2024 bertambah baik dengan mencatatkan penurunan defisit sejumlah RM12.224 billion, menjadikan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun kepada 4.1 peratus berbanding 5 peratus pada 2023.
Pencapaian itu terkandung dalam dapatan Analisis Kewangan Kerajaan Persekutuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 yang disiarkan di laman web LKAN hari ini.
Selain itu, pinjaman pada tahun lalu juga mencatatkan penurunan sebanyak RM39.261 bilion bersamaan 16.3 peratus berbanding RM241.509 bilion pada 2023.
Dapatkan analisis turut menunjukkan kutipan hasil Kerajaan Persekutuan berjumlah RM324.618 bilion, meningkat sejumlah RM9.659 bilion bersamaan 3.1 peratus berbanding 2023 yang berjumlah RM314.959 bilion.
“Bagaimanapun, lebihan hasil menurun sejumlah RM0.583 bilion (15.8 peratus) berbanding RM3.692 bilion pada 2023,” kata laporan itu.
Baki defisit Kumpulan Wang Pembangunan turut mengalami peningkatan sebanyak RM0.321 bilion iaitu 3.1 peratus berbanding baki defisit pada 2023 berjumlah RM10.217 bilion.
Pada tahun lalu, Nisbah Liabiliti Persekutuan kepada KDNK mencatatkan penurunan daripada 81.8 peratus kepada 81.7 peratus pada 2024.
“Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian terhadap peningkatan Liabiliti Persekutuan sejumlah RM86.047 bilion (5.8 peratus).
“Peningkatan ini termasuk peningkatan Hutang Persekutuan sejumlah RM75.105 bilion berbanding pada 2023,” dedah laporan itu.
Berdasarkan audit yang dijalankan, beberapa tindakan disyor berkait kaedah kutipan cukai serta pengurusan kewangan syarikat Kerajaan Persekutuan.
Justeru, pihak audit mengesyorkan agar mekanisme kutipan hasil dimantapkan terutama Hasil Cukai Langsung bagi memastikan lebihan hasil dapat dimanfaatkan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan serta mengurangkan defisit fiskal dan kebergantungan kepada pinjaman baharu.
Selain itu, pihak audit mencadangkan tindakan lebih berkesan perlu diambil untuk mengutip Akaun Belum Terima serta mengelakkan sebarang hapus kira yang boleh merugikan Kerajaan Persekutuan.
“Memantau dan menilai prestasi pengurusan kewangan syarikat-syarikat Kerajaan Persekutuan secara konsisten bagi memastikan syarikat berdaya maju serta memberi pulangan dividen sewajarnya kepada Kerajaan Persekutuan,” kata laporan itu.-BH Online