Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) disaran mempercepatkan aplikasi digital kepada mana-mana koperasi bagi membolehkan mereka mempromosikan produk dengan kos lebih rendah dan capaian lebih meluas.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, berkata penggunaan kaedah pendigitalan mampu menjadi alternatif kepada koperasi mempromosikan perkhidmatan mereka berbanding kaedah konvensional yang menelan belanja tinggi.

Beliau berkata, terdapat program atau inisiatif khusus disediakan termasuk penyediaan studio ‘TikTok Live’ secara percuma sehingga hujung bulan ini bagi melatih koperasi dan usahawan melariskan jualan.

“Contohnya, kita lihat ada produk berkaitan kosmetik atau perkhidmatan spa. Mereka tidak mampu pasang papan iklan kerana kos mahal, begitu juga dengan iklan di akhbar, kosnya tinggi dan terhad.

“Jadi, kita bekerjasama dengan agensi tertentu termasuk di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan menyediakan peluang digitalisasi bagi mereka mempromosikan produk secara dalam talian.

“Langkah ini dapat membuka peluang mereka menggunakan kemudahan digitalisasi untuk mempromosikan produk secara dalam talian dengan kos lebih rendah dan pasaran lebih meluas,” katanya pada Majlis Perasmian Program Pembudayaan Koperasi dan Usahawan Negeri Selangor 2025 di sini, hari ini. 

Pada majlis itu, Ramanan menyampaikan bantuan RM2.4 juta untuk memperkasakan koperasi komuniti India. 

Sementara itu, Ramanan berkata, sejumlah 2,189 koperasi berdaftar direkodkan di Selangor dengan keanggotaan melebihi 654,000 sehingga 30 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, bagi tempoh sama, koperasi berkenaan memiliki aset berjumlah RM2.816 bilion dan perolehan sebanyak RM769.225 juta. 

“Daripada jumlah itu, 121 koperasi milik masyarakat India berdaftar dengan keanggotaan 52,882 orang, memiliki aset bernilai RM209.9 juta dan mencatat perolehan hampir RM11.8 juta,” katanya 

Ramanan berkata, daripada jumlah itu, RM117,500 bantuan geran koperasi komuniti India melalui inisiatif Bakti Madani dan RM2 juta untuk pembiayaan Tabung Modal Pusingan.

“Enam syarikat milikan usahawan India turut menerima bantuan geran RM356,224 melalui Inisiatif I-BAP di bawah SME Corp Malaysia,” katanya.-BH Online