Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

HULU SELANGOR: Bayaran peringkat akhir pampasan tanah kepada 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya, di sini berjaya menamatkan penantian mereka hampir 31 tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata syarikat pengurusan tadbir tanah Murna Jaya Development (MJD) Berhad melangsaikan keseluruhan baki bayaran tertunggak bernilai RM74.2 juta.

Beliau berkata, kemelut yang panjang itu akhirnya diselesaikan oleh semua pihak yang bergabung dan bekerjasama bermula 2018.

“Alhamdulillah, saya ucapkan penghargaan kepada semua yang merealisasikan harapan peneroka dengan sebahagiannya berusia lebih 80 tahun, malah ada yang sudah meninggal dunia. Paling tidak, Kerajaan Selangor berjaya menyelesaikan hal ini,” katanya pada sidang media di pekarangan pejabat MJD Berhad yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amirul Fahmi Ahmad, di sini hari ini.

Justeru, Amirudin menegaskan pihaknya mahu melihat Bandar Sungai Buaya dibangunkan dengan lebih baik dan MJD kini sedang membuat ukuran pengezonan.

“Jika ada keperluan, kerajaan negeri akan memberi sokongan. Mereka habis beratus juta ringgit untuk selesaikan hal ini. Jadi, saya percaya perlu ada kerjasama dari semua pihak. Saya percaya selepas ini Bandar Sungai Buaya dengan ‘interchange’ dan industri sedia ada, sudah bersedia untuk bergerak maju menyambut pembangunan yang agak rancak di Hulu Selangor,” katanya.

Ditanya sama ada kawasan lain di Selangor berdepan isu sama, Amirudin berkata, setiap kawasan mempunyai isu tersendiri dan kaedahnya tidak sama serta spesifik seperti Bandar Sungai Buaya.

Seorang daripada penerima, Mustaf Talib, 75, bersyukur penantian selama tiga dekad berakhir dengan berita gembira walaupun hanya segelintir peneroka yang masih hidup dan ramai yang sudah berumur.

“Ada juga anak-anak sudah berumur, ada yang telah meninggal dunia, tetapi generasi selepas ini, iaitu cucu mendapat faedah daripada pembayaran ini. Jadi, tahniah dan syabas kepada Ahli Lembaga Pengarah MJD Berhad yang baharu kerana dapat menyelesaikan isu ini,” katanya ketika ditemui.

K Balakrishnan, 84, pula memaklumkan bayaran itu akan dimanfaatkan untuk ahli keluarganya, manakala Jamadi Mohamad, 80, menganggap seperti bermimpi apabila menerima wang itu dan tidak berhenti mengucapkan syukur kepada Allah SWT.

“Sebelum ini, saya bertungkus lumus mencari rezeki demi membesarkan 14 anak dengan menjual dan menternak ikan. Dengan izin Allah SWT, dugaan itu berakhir apabila bayaran sampai dan saya bercadang membina rumah untuk tinggal bersama keluarga,” katanya.

Sementara itu, Amirul Fahmi berkata, pihaknya berusaha sebaik mungkin untuk melunaskan baki bayaran tertunggak itu dan walaupun berdepan pelbagai dugaan termasuk fitnah dan tohmahan, MJD Berhad tetap fokus dalam memperjuangkan hak bekas peneroka.-BH Online