Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KEPALA BATAS: Kementerian Sumber Manusia komited membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) melindungi pekerja selama 24 jam pada tahun ini, mengikut skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menterinya, Steven Sim berkata ketika ini usaha itu sedang diperhalusi menerusi perancangan merangka pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Katanya, apabila RUU berkenaan diluluskan kelak, pekerja tidak hanya dilindungi ketika bekerja malah turut mendapat perlindungan di luar waktu kerja.

“PERKESO berhasrat memperluaskan skim perlindungan khususnya di bawah Akta 4 ini kepada pekerja kita menjangkaui waktu kerja sebab sekarang, kalau apa-apa perlindungan adalah berkaitan dengan pekerjaan dan dalam tempoh waktu kerja termasuk pergi balik kerja dan sebagainya.

“Jadi, kalau dia balik rumah dan contohnya, kalau berlaku apa-apa, dia tidak dilindungi. Maka, di sini nampak satu kelompongan. Apatah lagi, di Malaysia ini hanya 40 peratus dilindungi dibawah insurans swasta. 

“Maka ini memang satu keperluan khususnya untuk memastikan golongan pekerja kita mendapat perlindungan yang menyeluruh dan secukupnya,” katanya selepas merasmikan merasmikan Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sebuah resort di Bertam, di sini, hari ini.

Kementerian Sumber Manusia sebelum ini memulakan inisiatif menyemak semula 28 undang-undang perburuhan dibawah kementerian itu bagi memastikan peruntukan yang sudah lapuk dapat dimurnikan dan diselaras dengan amalan terbaik semasa.

Proses semakan meliputi beberapa undang-undang utama termasuk Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak yang sebahagiannya sudah lama wujud iaitu sebelum merdeka.

Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata soal perlindungan 24 jam pekerja sudah lama diperjuangkan, namun bersyukur apabila dasar berhubung perkara itu diluluskan di Kabinet, baru-baru ini.

“Sekarang kita tengah dalam perancangan untuk merangka pindaan akta itu. Dan jika tiada aral melintang, maka saya berhasrat untuk membentangkan RUU ini dalam Parlimen pada tahun ini juga.

“Selepas ini, pekerja apabila balik rumah mahupun buat kerja di kawasan lain sekali pun, dia akan mendapat perlindungan secara menyeluruh,” katanya.-BH Online