BALING: Warga asing yang didapati tinggal lebih masa di negara ini selama kurang daripada 90 hari, akan terus dikenakan kompaun tanpa melalui proses pendakwaan, berkuatkuasa awal bulan depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dasar baharu itu dikuatkuasa serta-merta sebagai sebahagian langkah mempercepatkan proses pengurusan kes tinggal lebih masa di negara ini sekali gus mengurangkan kesesakan di depot.
Katanya, bagi kesalahan tinggal lebih masa antara satu hingga 30 hari, kadar kompaun ditetapkan RM30 sehari dengan jumlah maksimum RM900.
“Namun, kalau memasuki hari ke-31 hingga ke-60 akan dikompaun terus secara automatik sebanyak RM1,000 dan kesalahan untuk hari ke-61 hingga 90 pula dikenakan kompaun RM2,000.
“Tetapi kalau terlebih tinggal di negara ini melebihi 90 hari atau misalnya sembilan tahun, kesalahan itu kita akan membuka kertas siasatan,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui selepas meluncurkan Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Imigresen Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rambong Pulai, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, pelaksanaan kompaun itu diyakini dapat memendekkan tempoh penyelesaian kes kepada hanya sehari berbanding sehingga 14 hari sebelum ini.
“Malah, ada kebaikannya kita laksanakan langkah ini iaitu depot tahanan kita tidak terlalu sesak tetapi ini hanya kita benarkan untuk alasan yang kita anggap munasabah dikenakan kompaun berbanding pendakwaan.
“Antara alasannya seperti mereka yang sakit sehingga tak boleh balik kerana kadang-kadang mereka terlibat dengan kemalangan atau alasan lain yang munasabah termasuklah bencana alam seperti banjir, itu perkara-perkara di luar kawalan,” katanya.
Dalam pada, Saifuddin berkata sepanjang 1 Januari hingga 30 Ogos lalu, seramai 35,225 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di seluruh negara kerana melanggar pelbagai peraturan imigresen.
Katanya, tangkapan itu hasil daripada 9,500 operasi yang dilaksanakan dengan pemeriksaan ke atas 152,000 warga asing.
“Rakyat Indonesia, Myanmar dan Bangladesh mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi.Golongan ini termasuk individu yang masuk ke negara tanpa dokumen, mereka yang tinggal melebihi tempoh serta menyalahgunakan pas sah, khususnya permit kerja.
“Sepanjang tempoh sama, sebanyak 1,395 majikan juga diambil tindakan kerana menggaji atau melindungi PATI,” katanya.
Saifuddin turut mendedahkan, seramai 36,557 warga asing dihantar pulang ke negara asal masing-masing setakat 28 Ogos lalu.
Katanya, jumlah itu tidak termasuk 35,225 tangkapan baharu yang masih dalam proses dokumentasi.
Katanya, proses penghantaran balik biasanya diselesaikan dalam tempoh 10 hari selepas perintah tahanan, perintah usir serta tiket penerbangan diperoleh.-BH Online