KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menghalang rakyat untuk mengadakan protes sekiranya ia dilakukan secara sah tanpa membabitkan keganasan, ugutan dan fitnah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, rakyat bebas menyuarakan pendapat dan membuat protes tetapi tindakan melampau seperti membakar rumah pemimpin atau menyebarkan fitnah tidak boleh diterima.
“Kita tidak (akan) menghalang, tapi mahu protes isu apa? Sedangkan sekarang elaun menteri dipotong, gaji menteri tidak ambil, minyak turun, peruntukan kepada rakyat bertambah dan lain-lain sudah diumumkan dan kita boleh pertimbangkan dalam belanjawan.
“Tetapi untuk memperoleh semua itu… negara kena aman, kerja kena kuat dan ekonomi kena berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan protes yang berlaku di Indonesia terjadi di negara ini sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan.
Protes di negara jiran itu bermula Isnin lalu akibat kemarahan rakyat terhadap elaun mewah diterima Ahli Parlimen.
Protes tercetus di seluruh Indonesia termasuk Jakarta, selepas rakaman video menunjukkan Affan Kurniawan, seorang pemandu p-hailing dilanggar dan digilis kenderaan polis ketika demonstrasi menuntut gaji lebih adil dan menentang keistimewaan mewah wakil rakyat.
Di Jakarta, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan ibu pejabat pasukan elit Brimob, yang didakwa menyebabkan kematian Kurniawan.
Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling di sini sebelum menghadiri program Temu Mesra MADANI Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di masjid sama.
Anwar menegaskan fokus utama kerajaan ialah memastikan negara kekal aman dengan ekonomi terus berkembang serta memastikan pelaburan masuk.
Katanya, jika kestabilan negara tergugat, rakyat juga akan terjejas.
“Tidak ada salah rakyat mengemukakan apa jua pandangan tetapi jangan hingga bakar rumah ketua (pemimpin) ataupun yang membuat tindakan yang melanggar undang-undang.
Jika” itu berlaku, polis ambil tindakan. Ada orang kata ini mengekang kebebasan, itu tidak betul.
“Begitu juga fitnah, tuduhan kononnya sokong Israel atau jadi ejen Israel, itu semua biadab, tidak berakhlak,” katanya.-BH Online