Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia mempelawa platform e-dagang sehenti China, JD.com melabur di Gudang Pintar Selangor Aeropark bagi mengukuhkan kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab logistik serantau.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pelaburan itu bakal meningkatkan kecekapan dan sokongan kepada produk Malaysia dan ASEAN untuk menembusi pasaran China.

Dalam sesi libat urus bersama JD.com, beliau berkata, hasrat Malaysia untuk membangunkan KLIA sebagai hab kargo udara utama bagi rantau ASEAN, selaras dengan strategi JD.com untuk memperluas rangkaian perdagangan mereka di seluruh ASEAN dan China.

“Ketika pertemuan dengan JD.com, saya menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama antara KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng, seperti digariskan dalam kenyataan bersama antara kedua-dua negara susulan lawatan negara Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Loke menyertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam lawatan kerja empat hari ke Beijing, yang menyaksikan beberapa perbincangan strategik bersama pemimpin industri utama China bagi merancakkan pelaburan serta meneroka peluang kerjasama baharu.

JD.com iaitu syarikat tersenarai dalam NASDAQ 100 dan Fortune Global 500, adalah peruncit e-dagang terbesar di China, dengan lebih 580 juta pengguna di seluruh negara itu. 

Infrastruktur berasaskan teknologi dimiliki JD.com membolehkan 90 peratus pesanan dihantar dalam hari sama atau keesokan harinya.

Loke berkata, kedua-dua pihak berkongsi matlamat untuk mewujudkan Laluan Sutera Udara yang lancar antara ASEAN dan China menerusi kerjasama menyeluruh dalam bidang penerbangan awam dan logistik. – BERNAMA