KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan setakat ini tiada pelajar dari Malaysia yang terbabit dengan rusuhan yang berlaku di sekitar bandar raya Indonesia sejak 25 Ogos lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata ketika ini terdapat lebih 1,200 pelajar Malaysia yang sedang belajar di seluruh negara itu termasuk di Jakarta, Sumatera dan Pulau Jawa.
Beliau berkata, KPT bersama Wisma Putra ketika ini sedang mengikuti cara langsung perkembangan terkini, maklumat dan sebarang maklum balas keadaan di negara itu daripada wakil Malaysia iaitu Education Malaysia Indonesia (EMI).
“Setakat ini Alhamdulillah kita tidak dapat sebarang berita yang babitkan pelajar Malaysia di sana.
“Namun, kita terus memantau kerana kesannya yang kita lihat bukan sahaja di Jakarta, tetapi juga di daerah lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Institute Of Internationalization And Asean Studies (INTAS) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Buku ‘Education Of The Interior: Essays In Honour Of Professor Syed Ali Ashraf’ di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) UIAM Kampus Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai rusuhan itu, Zambry berkata, EMI juga sering memberi maklumat terkini kepada pelajar Malaysia yang berada di Indonesia.
“EMI sentiasa berhubung dengan pelajar Malaysia di sana untuk menyampaikan maklumat kepada mereka untuk pastikan mereka tidak berada di kawasan yang terbabit (rusuhan),” katanya.
Susulan kejadian rusuhan itu, Zambry yakin Indonesia akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berpanjangan.
“Saya percaya dengan kepemimpinan pemerintah Indonesia sekarang tentu mereka lakukan yang terbaik untuk atasi masalah ini.
“Kita berharap Indonesia kembali aman dan tenteram di mana semua rakyat dapat hidup dalam keadaan baik dan akan berikan kebaikan kepada negara jiran kerana Indonesia terlalu dekat dengan kita dan menjadi hubungan akrab.
“Kita doakan kembali pulih,” katanya.
Semalam media melaporkan, Polis Metropolitan Jakarta (Polda Metro Jaya) menahan 1,240 individu yang dipercayai terbabit dalam tindakan rusuhan yang berlangsung di sekitar bandar raya itu sejak 25 Ogos lalu.
Demonstrasi minggu lalu di beberapa lokasi sekitar Jakarta termasuk di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat bertukar menjadi kecoh, apabila individu tidak bertanggungjawab dilaporkan merosakkan kemudahan awam seperti hentian bas TransJakarta dan stesen MRT Jakarta.
Kerajaan Wilayah Jakarta turut merekodkan kerugian akibat kerosakan infrastruktur di beberapa kawasan, yang dianggarkan mencecah Rp55 bilion (kira-kira RM15.2 juta).-BH Online