KUALA LUMPUR: Ulama perlu menjadi benteng mengelak perpecahan ummah yang kini cenderung menggunakan media sosial, selain terpengaruh retorik politik atau penyalahgunaan agama, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tugas ulama juga sudah berbeza berbanding dahulu.
“Ulama kini berperanan menangani kebencian dengan kebijaksanaan, menggantikan kejahilan dengan kefahaman dan membina jambatan ketika yang lain membina tembok.
“Sejarah membuktikan provokasi hanya menyemarakkan permusuhan tetapi dengan iman, ia dapat meluaskan ufuk perdamaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Ulama Asia Tenggara Edisi Ketiga 2025 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Setiausaha Agung Liga Muslim Dunia, Datuk Seri Dr Mohammad Abdulkarim Al-Issa.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, golongan ulama, sarjana dan pemikir bertanggungjawab menjadi penyatu ummah.
“Mungkin ada yang berbeza pandangan, ada bersetuju atau tidak bersetuju. Namun, sebagai sebuah ummah, kita berkongsi matlamat lebih besar yang hanya dapat dicapai apabila kita berdiri bersama dalam kesatuan,” katanya.
Beliau berkata, Maqasid Syariah yang merangkumi pemeliharaan agama, nyawa, akal, keluarga dan harta wajar dijadikan kerangka sejagat dalam menangani cabaran global.
“Prinsip itu bukan sahaja relevan untuk umat Islam, malah menjadi kompas moral untuk seluruh manusia dalam membina dialog, persefahaman dan penyelesaian berteraskan kemanusiaan.
“Apabila prinsip ini ditegakkan, perbahasan akan lebih bernilai, pertukaran pandangan lebih menginspirasi dan perbezaan mampu mengukuhkan kesatuan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, persidangan ilmuwan Islam serantau itu tidak boleh terbatas dalam lingkungan teori atau akademik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemah sebagai tindakan nyata yang memanfaatkan masyarakat.
“Persidangan ini mesti menjadi pencetus kepada sesuatu yang lebih besar melalui penyelidikan bersama, penerbitan kolaboratif dan pertukaran akademik rentas sempadan.
“Inilah jalan untuk ulama Islam Asia Tenggara memberi sumbangan bermakna kepada dunia,” katanya.
Beliau berkata, melalui kerjasama erat ulama, pelan induk intelektual serantau berasaskan iman dan sains moden dapat dihasilkan.
“Manfaatnya akan dirasai apabila universiti kita bekerjasama menangani perubahan iklim, mengurangkan ketidaksamarataan dan menghadapi gangguan digital.
“Semua cabaran ini melangkaui sempadan dan memerlukan jawapan kolektif,” katanya.
Menyentuh isu Palestin, Ahmad Zahid berkata, pendirian tegas Malaysia menentang peluasan penempatan haram Israel dan agenda ‘Greater Israel’ yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Katanya, Malaysia turut mengumumkan tambahan bantuan kemanusiaan RM100 juta kepada Palestin baru-baru ini, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan melebihi RM200 juta sejak beberapa tahun lalu.
“Mempertahankan Palestin bukan tanggungjawab sebuah negara sahaja tetapi amanah seluruh manusia. Selagi penindasan berterusan, kita mesti terus bersuara, bertindak dan berdiri teguh bersama rakyat Palestin,” katanya.-BH Online