Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 224 jalan berlubang atau pothole di sepanjang Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dari Gerik ke Jeli telah ditampal sejak Januari tahun ini hingga bulan lalu, Dewan Negara diberitahu, hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata setiap kerosakan yang dikenal pasti melalui rondaan rutin atau aduan awam akan dibaiki dalam tempoh 24 jam oleh syarikat konsesi penyenggaraan yang dilantik kerajaan.

“Bagi penyelesaian jangka pendek, syarikat konsesi melaksanakan beberapa tindakan segera di sepanjang JRTB dari Gerik ke Jeli dengan melaksanakan penampalan jalan (pothole patching) di bawah kerja-kerja penyenggaraan rutin.

“Selain itu, pihak syarikat turut dipertanggungjawab melaksanakan kerja kecemasan dengan membuat tindakan segera jika berlaku kejadian di luar jangka. Sebagai contoh, pihak konsesi akan melaksanakan kerja membersihkan jalan setelah kejadian tanah runtuh, menyediakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dan menyediakan laluan sementara,” katanya.

Nanta menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar yang ingin tahu penyelesaian komprehensif bagi tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang masalah infrastruktur di JRTB yang mengakibatkan banyak kemalangan maut. 

Selain kerja penyenggaraan rutin, beliau berkata kementerian turut memberi tumpuan kepada langkah meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, termasuk pemasangan lampu di kawasan berisiko kemalangan.

Sementara itu, Nanta berkata dua lokasi di Jalan Persekutuan FT004, iaitu Seksyen 73 dan Seksyen 75.5 disenaraikan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk pemasangan lampu jalan baharu pada 2025 dengan kos berjumlah RM200,000.

Beliau berkata bagi penyelesaian jangka panjang, Kementerian Kerja Raya (KKR) mengemukakan permohonan untuk menaik taraf Laluan Persekutuan FT004 atau JRTB di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi kelulusan agensi pusat.

Cadangan projek itu melibatkan kerja menaik taraf Lebuh Raya Timur-Barat (LRTB) FT004 dari Seksyen 83.74 hingga Seksyen 198.40 di Perak serta dari Seksyen 198.40 hingga Seksyen 224.90 di daerah Jeli, Kelantan.

“Walau bagaimanapun, keputusan bagi permohonan cadangan projek berkenaan akan diketahui selepas pembentangan Belanjawan 2026 yang akan datang,” katanya. – BERNAMA