KUALA LUMPUR: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersedia memberi kerjasama sepenuhnya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan seorang pegawai kanan gred Jusa B petang semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan apa-apa bentuk salah laku oleh sesiapa pun.
“Saya dapat tahu maklumat penahanan ini dari berita yang dilaporkan.
“Sekiranya benar, kita beri ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, seorang pegawai kanan yang berkhidmat di agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) antara tiga individu ditahan SPRM kerana disyaki terbabit rasuah sejak 2014.
Pegawai kanan gred Jusa B itu ditahan bersama seorang pemilik syarikat dan orang awam.
Menurut sumber, pegawai yang berkhidmat di ibu negara berusia lingkungan 50-an itu ditahan sekitar jam 4 petang tadi di pejabatnya.
Turut ditahan pemilik syarikat, seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an masing-masing ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan sekitar jam hingga 2 petang semalam.
Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit rasuah sejak 2014 yang mana suspek berjawatan pemilik syarikat terbabit dipercayai membayar rasuah kepada pegawai PBT berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di PBT terbabit.
Susulan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000 selain empat peranti telekomunikasi diikuti dua unit kenderaan jenis Lexus RX500H serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton.-BH Online