Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMUR: Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM190.3 bilion dalam separuh pertama 2025, meningkat sebanyak 18.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, demikian menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peningkatan pelaburan yang diluluskan menunjukkan keyakinan berterusan pelabur asing dan domestik terhadap dasar yang jelas serta agenda pembaharuan industri jangka panjang Malaysia.

“Faktor-faktor ini menyumbang kepada asas ekonomi Malaysia yang kukuh, walaupun berdepan dengan persekitaran global yang mencabar.

“MITI dan MIDA bekerjasama rapat dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi memastikan komitmen pelaburan ini dilaksanakan dengan pantas dan memberi impak yang bermakna,” katanya dalam satu kenyataan.

MIDA memaklumkan bahawa sebanyak 3,011 projek dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama dijangka menjana 89,294 peluang pekerjaan baharu.

Ini menunjukkan keupayaan negara menterjemahkan komitmen pelaburan kepada impak ekonomi sebenar.

Pelaburan asing meningkat sebanyak 43.5 peratus tahun ke tahun, didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor perkhidmatan (100.7 peratus), pembuatan (12.1 peratus) dan sektor utama (57.4 peratus).

Bagi pelaburan asing yang diluluskan, Singapura mencatat nilai tertinggi dengan RM43.4 bilion, diikuti China (RM23.4 bilion), Amerika Syarikat (RM10.4 bilion), Kepulauan Virgin British (RM6.6 bilion) dan Itali (RM3.3 bilion).

Johor merekodkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi iaitu RM56 bilion, diikuti Selangor (RM34.7 bilion), Kuala Lumpur (RM30.1 bilion), Pulau Pinang (RM18.9 bilion) dan Sabah (RM11.4 bilion).

Sektor tumpuan di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) menyumbang sebanyak RM88.3 bilion atau 46.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan merentas pelbagai sektor ekonomi.

Kelulusan terbabit merangkumi 426 projek yang dijangka mewujudkan 33,891 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia, sekali gus menunjukkan penjajaran kukuh antara strategi pelaburan negara dengan matlamat pembangunan nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, berkata prestasi Malaysia dalam menarik pelaburan bagi separuh pertama 2025 menunjukkan ketahanan ekonomi negara.

“Walaupun ekonomi global bergolak, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua 2025. Momentum pelaburan kekal kukuh. Ini mencerminkan kekuatan asas ekonomi kita serta kepercayaan pelabur terhadap hala tuju jangka panjang negara,” katanya.

MIDA menyatakan bahawa sektor perkhidmatan menyumbang RM118.6 bilion atau 62.3 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, membabitkan 2,476 projek. 

Ia mencatatkan peningkatan sebanyak 25.6 peratus tahun ke tahun dan dijangka mewujudkan 42,576 peluang pekerjaan.

Di bawah sektor ini, pelaburan domestik menyumbang RM66.6 bilion (56.2 peratus) manakala pelaburan asing sebanyak RM52 bilion (43.8 peratus).

Dalam sektor pembuatan, Malaysia memperoleh pelaburan diluluskan sebanyak RM68.4 bilion atau 36 peratus bagi separuh peertama 2025, membabitkan 518 projek dan 46,690 peluang pekerjaan baharu.

Pelaburan asing merangkumi 78 peratus atau RM53.3 bilion daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan, manakala pelaburan domestik menyumbang RM15.1 bilion atau 22 peratus.

Sementara itu, sektor utama memperoleh pelaburan diluluskan sebanyak RM3.3 bilion melalui 17 projek, kebanyakannya dalam sektor perlombongan.

Sumber pelaburan domestik menguasai dengan RM1.8 bilion (54.2 peratus), manakala sumber asing menyumbang RM1.5 bilion (45.8 peratus).

“Di MIDA, peranan kami adalah untuk memastikan peralihan dari minat ke pelaksanaan berjalan lancar. Melalui Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC), kami menghimpunkan agensi berkaitan di bawah satu bumbung. Keputusan dapat dibuat dengan cepat, halangan diatasi, dan projek dapat dimulakan dengan segera.

“Itulah sebabnya lebih 85 peratus projek pembuatan yang diluluskan sejak 2021 hingga Jun 2025 kini sedang dilaksanakan. Setiap hari, kami melihat bagaimana pendekatan ini membantu pelabur merealisasikan rancangan mereka, mewujudkan pekerjaan, membina kapasiti dan mengekalkan daya saing Malaysia walaupun dalam keadaan global yang tidak menentu,” kata Sikh Shamsul Ibrahim.

MIDA turut menyatakan bahawa prospek pelaburan Malaysia kekal kukuh, disokong oleh aliran berterusan cadangan projek berkualiti.

Sehingga 31 Julai 2025, MIDA memudahcara satu saluran pelaburan berpotensi melibatkan 385 projek dengan nilai keseluruhan RM22.5 bilion, merangkumi sektor perkhidmatan (RM15.7 bilion) dan pembuatan (RM6.8 bilion).

MIDA juga sedang dalam perbincangan aktif melibatkan potensi pelaburan berimpak tinggi berjumlah RM103.8 bilion, yang menunjukkan minat dan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap dasar mesra perniagaan dan hala tuju ekonomi jangka panjang Malaysia.-BH Online