KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbang penubuhan Kementerian Undang-Undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, langkah itu akan membolehkan Malaysia berperanan lebih bermakna di peringkat ASEAN dalam memperkukuh kedaulatan undang-undang.
“Malaysia sedang meneliti kaedah terbaik memperkukuh sistem perundangan negara termasuk cadangan menubuhkan Kementerian Undang-Undang khusus.
“Langkah ini bukan sahaja dapat memastikan keselarasan ekosistem perundangan negara, tetapi juga membolehkan kita terbabit dengan lebih berkesan bersama rakan serantau dalam memperjuangkan kedaulatan undang-undang.
“Menerusi penyesuaian diri dengan amalan terbaik negara jiran, Malaysia akan lebih bersedia membentuk susunan serantau yang adil dan responsif,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Timbalannya, M Kulasegaran serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Perdana Menteri berkata, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang menjadi tema kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, antara lain bermaksud undang-undang mesti memanfaatkan setiap individu, komuniti dan generasi.
“Tema itu bukan sekadar slogan, sebaliknya mencerminkan komitmen mendalam untuk membina ASEAN yang tidak meminggirkan sesiapa serta memastikan institusi perundangan kekal teguh melebihi tuntutan semasa.
“Keterangkuman bererti undang-undang mesti berkhidmat untuk setiap individu, setiap komuniti dan setiap generasi.
“Undang-undang harus memperkasa dan melindungi, bukan menakutkan atau mengecualikan, manakala kemampanan bermaksud membina sistem perundangan dan institusi yang mampu bertahan mengharungi zaman,” katanya. -BH Online