KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) – Aduan serta laporan terhadap kandungan video yang cuba mencemarkan imej Lembaga Tabung Haji (TH) di media sosial telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau maklum terdapat beberapa video berlegar di media sosial yang mengajak umat Islam di negara ini untuk keluar daripada menyimpan wang di TH.
“Hasutan ini tidak memberi manfaat atau kebaikan kepada usaha kita dalam mempertahankan TH, maka kerajaan sedang teliti dan tindakan juga telah diambil, contoh aduan ataupun laporan telah dikemukakan kepada MCMC.
“Laporan polis juga telah dibuat ke atas beberapa video yang kita dapati menjurus ke arah hasutan tersebut dan perkara ini kita serah kepada pihak berwajib untuk melaksanakan atau menjalankan siasatan secara adil,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang bertanyakan mengenai usaha kerajaan mengekang cubaan pembinaan naratif serta dakwaan jahat terhadap TH di pelbagai platform media sosial.-BH Online