Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Setiap kementerian akan memberi pandangan berhubung cadangan menggubal Akta Antibuli yang menggunakan sistem tribunal bagi mendengar kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak, dalam tempoh terdekat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata beliau menjangkakan akan membawa perkara itu ke dalam mesyuarat Kabinet minggu depan, seperti mana arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Selepas kementerian memberi pandangan masing-masing, beliau berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri akan melaksanakan kajian dan sesi libat urus sebelum ia diputuskan ke peringkat dasar dan dibawa ke Parlimen.

“Saya tidak boleh bercakap perkara ini (kepentingan wujudnya Akta Anti Buli) kerana saya perlu berbincang dengan Kabinet kerana Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Perpaduan dan lain-lain kementerian mungkin mempunyai pandangan mereka. Di pihak kami tiada masalah.

“Kita ada mesyuarat Kabinet dan walaupun kita kerajaan campuran tetapi kita perlu bertanggungjawab untuk negara dan perlu berbincang. Selepas berbincang, kita buat kajian, buat libat urus dan bawa balik untuk keputusan dasar.

“Selepas itu, kita bawa ke Parlimen dan berbincang dengan semua Ahli Parlimen, pembangkang atau kerajaan… saya sebagai menteri bertanggungjawab akan mendapat laporan pandangan dari semua pihak,” katanya ketika ditemui media di Forum Undang-Undang ASEAN 2025.

Hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya berkata, cadangan untuk menggubal undang-undang Akta Antibuli yang menggunakan sistem tribunal bagi mendengar kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet oleh Azalina.

Katanya, ketika ini tiada undang-undang khas diperuntukkan bagi kesalahan buli, sebaliknya mengguna pakai Kanun Keseksaan dan undang-undang lain.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, Kabinet juga perlu memutuskan sama ada Akta Antibuli itu perlu wujud.

“Saya tidak tahu dan tidak boleh memberitahu (pandangan mengenai kewujudan Akta Antibuli) kerana ia perlu dibincangkan di Kabinet. Namun semalam saya berkata, BHEUU sudah membuat kajian awal.

“Ada negara hari ini sudah mempunyai akta yang spesifik dan ada negara yang menggunakan parameter umum. Kerana isu buli ini mempunyai banyak interpretasi… seperti gangguan seksual, buli di pejabat ada yang dikategorikan sebagai buli,” katanya.

Ditanya mengenai agenda Akta Antibuli akan dibawa mesyuarat Kabinet seawal minggu depan, Azalina berkata, ia mungkin berlaku, berdasarkan kenyataan Anwar, pagi tadi.

“Jika PM sebut (pagi tadi), mungkin saya akan diberi peluang bercakap,” katanya.-BH Online