KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meminda Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Akta 652) bagi mengiktiraf Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke tahap kepakaran tinggi, sekali gus mewujudkan laluan kemajuannya sebagaimana bidang akademik lain.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pindaan akta itu merupakan satu lonjakan bersejarah yang akan mengangkat TVET ke mercu kecemerlangan baharu.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, pendidikan TVET kini sudah jauh meninggalkan persepsi lapuk kononnya ia hanyalah laluan pendidikan terakhir.
“Bukti paling jelas ialah pelancaran platform UP_TVET pada 2023 yang menerima sambutan luar biasa. Pada tahun pertamanya saja, sebanyak 90,558 permohonan sudah diterima.
“Setahun kemudian, angka itu melonjak kepada lebih 200,000 permohonan – satu lonjakan yang membuktikan keyakinan rakyat terutama ibu bapa dan pelajar, terhadap potensi TVET sebagai laluan masa depan yang berprestij,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah MQA 2025 di sini, malam tadi.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan Timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud, serta Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, dengan 12 kementerian berbeza dan 1,398 institusi, puluhan ribu tenaga pengajar serta ratusan ribu pelajar aktif, ekosistem TVET Malaysia kini bukan sekadar pelengkap dasar tetapi sudah menjadi nadi utama pembangunan negara.
Dalam konteks kawal selia MQA pula, beliau memaklumkan bahawa buat julung kalinya, Malaysia kini memperkenalkan TVET Aras Tinggi pada peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).null
“MQA sudah bersetuju meluluskan Master of Professional Practice dan Doctor of Professional Practice pada aras tujuh serta lapan dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
“Bagi memastikan laluan ini fleksibel dan inklusif, MQA turut memperkenalkan garis panduan artikulasi antara program TVET dan program akademik bukan TVET.
“Ini bermakna, seorang graduan TVET kini boleh melangkah ke peringkat akademik tertinggi tanpa halangan struktur,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan komited menyediakan laluan TVET yang setaraf dan setanding dengan bidang akademik lain, sekali gus melahirkan graduan yang diiktiraf dalam semua sektor industri sama ada di dalam negara atau di pentas antarabangsa.-BH Online