Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Isu tanah dan penempatan Orang Asli ialah antara perkara dibincangkan pada Mesyuarat Khas Majlis Perundangan Orang Asli (MaPOA), hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, mesyuarat itu adalah langkah penting bagi menyediakan asas kukuh untuk pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang tidak pernah melalui sebarang pindaan substantif sejak lebih 70 tahun lalu.

“Akses kepada pendidikan berkualiti, infrastruktur yang memudahkan kehidupan harian dan peluang ekonomi lebih luas adalah matlamat yang akan terus Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) perjuangkan.

“Pindaan Akta 134 adalah peluang untuk kita menulis semula naratif pembangunan Orang Asli agar komuniti ini kekal teguh dan berdaya saing serta mampu melakar kejayaan lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas MaPOA di Bangunan Parlimen, yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, serta wakil pihak berkepentingan.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan komited memastikan pindaan itu bukan saja memperkukuhkan perlindungan terhadap hak Orang Asli, malah membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat berkenaan.

Beliau berkata, sesi libat urus melalui mesyuarat hari ini juga penting sebelum isu tanah Orang Asli dibincangkan pada peringkat Majlis Tanah Negara (MTN) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya percaya hak ke atas tanah bukan sekadar soal pemilikan fizikal tetapi juga lambang maruah, kesinambungan warisan dan kunci kepada kemajuan sosioekonomi komuniti ini.

“Walaupun pentadbiran tanah terletak bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri menjadi tunjang utama bagi memastikan setiap pindaan yang dicadangkan benar-benar mengambil kira kepentingan semua pihak serta selaras dasar dan bidang kuasa negeri,” katanya.

Setakat ini, beliau berkata, lebih 1,000 sesi libat urus telah dilaksana membabitkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Batin, kerajaan negeri, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan.-BH Online