KOTA BHARU, 10 Ogos – Kementerian Kerja Raya memberi jaminan bahawa projek Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) bagi jajaran Pakej 2B dari Ketereh ke Kok Lanas dapat disiapkan mengikut jadual.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerja-kerja telah dimulakan semula pada Februari lepas dan kini mencapai kemajuan 6.1 peratus, mendahului jadual yang ditetapkan iaitu 5.1 peratus.
Pakej itu melibatkan pembinaan jalan berkembar empat lorong sepanjang 6.2 kilometer (km) dengan mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R5 dan kos kontrak semasa iaitu RM73.7 juta kini digerakkan kontraktor Daie Engineering Sdn Bhd bagi menyiapkan baki kerja-kerja tertangguh.
“Kontraktor asal telah ditamatkan dan awal tahun syarikat penyelamat sudah dilantik dan memulakan kerja mereka. Saya difahamkan projek ini boleh siap dalam tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Siap, Menaiktaraf Laluan FT003 dari Persimpangan Melor di Ketereh ke Kampung Pak Badol di sini.
Sebagai sebahagian daripada pembinaan keseluruhan Lebuhraya KBKK sepanjang 70.4 km, Pakej 2B juga akan menjadi penghubung penting dengan mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan 8 khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah.
Selain itu, ia akan menjimatkan masa perjalanan daripada tujuh jam kepada empat jam setengah, mengurangkan jarak perjalanan sejauh 24 km dan meningkatkan keselamatan jalan raya serta membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
Apabila lebuh raya itu siap, ia akan menjadi sebahagian daripada rangkaian Lingkaran Tengah Utama yang memperkukuh hubungan Pantai Timur dengan Lembah Klang.-Berita RTM