KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia sepakat bahawa usaha penyelesaian pertikaian membabitkan Laut Sulawesi tidak harus menjejaskan keakraban dan hubungan strategik antara kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata penyelesaian isu itu perlu dilaksanakan berdasarkan prinsip saling menghormati dan perundingan secara damai dalam semangat hubungan baik dua hala dan kerjasama serantau.
Mohamad berkata, rundingan pembatasan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia dilaksanakan melalui mekanisme Mesyuarat Teknikal Bagi Pembatasan Sempadan Maritim antara Malaysia dan Indonesia, yang ditubuhkan sejak 2005, yang melapor kepada Suruhanjaya Bersama mengenai Kerjasama Dua Hala, seterusnya rundingan tahunan antara Perdana Menteri dan Presiden Indonesia.
Beliau memaklumkan, kerajaan merancang beberapa langkah strategik bagi menangani isu ini secara holistik, termasuk memuktamadkan sempadan maritim dengan Indonesia secara aman melalui mekanisme diplomatik, undang-undang dan teknikal yang disepakati.
“Kita juga memastikan pembabitan kerajaan Sabah dalam sebarang keputusan berkaitan kawasan yang bersempadan atau memberi kesan langsung kepada Sabah, selain melindungi kepentingan strategik dan keselamatan negara, khususnya berkaitan hak sumber asli, kawalan perairan, dan pengurusan zon ekonomi eksklusif (ZEE),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (WARISAN-Kota Belud) dan Riduan Rubin (BEBAS-Tenom) yang meminta penjelasan berhubung Perjanjian bagi Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) di kawasan Laut Sulawesi, membabitkan blok ND6 dan ND7, dan sama ada ia akan menggunakan kaedah yang sama dengan JDA Malaysia-Thailand sebelum ini.
Mohamad menjelaskan, Malaysia dan Indonesia masih meneroka kebarangkalian kerjasama itu dan belum lagi dimuktamadkan, malah ia adalah usaha awal dalam mencari penyelesaian terbaik bagi kedua-dua negara.
“Buat masa ini, tidak ada apa-apa perkara yang diperincikan oleh kedua-dua negara. Bagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan awal dan sebarang keputusan yang diambil perlulah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Dalam menyelesaikan isu persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia, Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Sabah dalam proses rundingan dan perbincangan, dan wakil kerajaan negeri turut dibabitkan dalam mesyuarat berkaitan serta rundingan teknikal persempadanan maritim ini,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai langkah diplomatik atau undang-undang yang akan diambil kerajaan jika cadangan JDA itu tidak berhasil dan Indonesia mengambil pendekatan meneruskan penerokaan secara unilateral, Mohamad berkata, isu itu tidak timbul kerana kedua-dua negara sudah berbincang mengenainya.
“Tidak timbul isu pembangunan unilateral atau sebelah pihak ini. Kita sudah bincang, isu sempadan ini tidak tahu bila akan selesai, berbelas atau berpuluh tahun. Masing-masing mempunyai hujah sendiri.
“Kita jaga hubung baik dua negara kerana kita baik 98 peratus, jangan sebab dua peratus (merujuk isu persempadanan maritim), hubungan baik ini akan terganggu dan jadi masalah.
“Pandangan Kementerian Luar adalah dua peratus ini dirunding elok-elok. Takkan sebab dua peratus ini, kita nak pergi berperang. Itu bukan jalan yang perlu kita ambil,” katanya.-BH Onlina